Cari Blog Ini

Ahad, 9 Ogos 2015

Baik buruk miliki kad kredit

Baik buruk miliki kad kredit


>> Jangan berlagak, gunakan secara bijak

Apabila permohonan mendapatkan kad kredit diluluskan oleh pihak bank dan baru pertama kali memegang kad itu, ada yang tersenyum sampai ke telinga seolah-olah bangga dan puas.

Satu kebanggaan kerana berjaya memiliki kad kredit kerana ia dianggap lambang status peribadi. Kadang-kadang anda sendiri tanya kenapa mesti ada kad kredit.

Malahan ada yang dengan bangganya memiliki lebih daripada satu kad kredit.

Memilik berapa banyak kad kredit tidaklah menjadi kesalahan. Cuma, fikirkan setiap tahun akan dikenakan yuran tahunan. Tidak termasuk dengan perbelanjaan menggunakan kad kredit.

Ada orang kata, kad kredit boleh menjadi teman disayangi tetapi boleh juga menjadi musuh yang dibenci. Ia disayangi kerana membantu anda di saat memerlukan, terutama untuk kecemasan, tetapi dibenci kerana jumlah kredit atau hutang yang perlu dibayar balik.

Kalau sikit tak apalah, tetapi kalau sudah mencecah belasan ribu ringgit, ia boleh mempengaruhi emosi anda.

Memiliki kad kredit seperti yang dijelaskan tadi, tidaklah menjadi kesalahan. Cuma, menggunakan kad kredit perlulah bijak untuk memastikan kedudukan kewangan kita sentiasa sihat dan terkawal.

Kad kredit macam menyimpan pisau yang ada banyak faedahnya kalau bijak menggunakannya tetapi boleh membawa padah kalau disalahgunakan.

Berfaedah kalau berhemah penggunaannya
Sudah banyak diperkatakan mengenai kebaikan dan keburukan kad kredit ini. Kad kredit ialah alat pembayaran secara elektronik yang membolehkan kita membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Kad ini menjadi alat berguna kalau kita tahu menggunakannya dengan bijak. Antaranya:
• Menjadi kaedah pembayaran yang mudah dan cekap
• Boleh membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian (online)
• Menggunakan penyata bulanan untuk mengesan perbelanjaan bagi tujuan merancang perbelanjaan atau bajet.
• Ada kad kredit yang menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan.
• Menikmati skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pemindahan baki pada kadar 0 peratus untuk memaksimumkan pembelian
• Dapat mata ganjaran untuk menebus barangan dan perkhidmatan yang biasanya tidak boleh diperolehi kalau bayaran dibuat secara tunai

Selalu ingatkan diri sendiri
Secara umumnya, kita mahu memiliki kad kredit kerana faktor yang sudah disenaraikan di atas. Dalam bahasa yang mudah, dengan kad kredit, senanglah untuk berhutang kerana beberapa faktor seperti tidak cukup wang tunai sedangkan kita memang amat memerlukan perkhidmatan atau barang berkenaan pada waktu itu.

Namun, sebelum menandatangani dan menyerahkan borang permohonan mendapatkan kad kredit, fahami terlebih dahulu terma dan syarat yang ditetapkan.

Kalau anda sudah memiliki kad kredit, apa salahnya membelek semula terma dan syarat itu. Manalah tahu ia boleh mengingatkan diri sendiri supaya kita lebih berhemah apabila menggunakan kad kredit.

Antaranya ialah had maksimum bagi setiap kad. Kalau had ini habis diguna, kita tidak boleh menggunakan kad sehingga menjelaskan sebahagian daripada bayarannya.

Lazimnya, had kad kredit ini adalah dua hingga tiga kali ganda pendapatan bulanan kita. Kalau kita menggunakan had maksimum, ini bermakna kita sudah membelanjakan dua hingga tiga bulan pendapatan masa depan kita!

Bukan percuma
Memiliki kad kredit juga sebenarnya tidaklah percuma. Ada yuran dan caj yang dikenakan dan kita perlu fahami, seperti:
• Yuran penyertaan
Pengeluar kad kredit mungkin mengenakan yuran penyertaan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad dengan yang lain

• Yuran tahunan
Yuran yang perlu dibayar apabila kita menerima kad kredit. Terdapat juga pengeluar kad kredit yang mengecualikan yuran ini jika kita memenuhi syarat penggunaannya. Rujuk kepada pengeluar kad kredit anda.

• Caj kewangan
Ini adalah caj yang dikenakan ke atas baki yang belum diselesaikan selepas tarikh akhir pembayaran dan dikira berdasarkan baki harian.

Pada masa ini, pemegang kad kredit dikenakan faedah secara bertingkat. Tujuannya untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin.

• Yuran pendahuluan wang tunai
Dikenakan setiap kali pendahuluan wang tunai dilakukan dan biasanya antara tiga hingga lima peratus. Yuran ini adalah caj kewangan tambahan dan dikira dari tarikh wang tunai itu diambil.

• Caj bayaran lewat
Caj ini dikenakan kerana kita gagal menjelaskan jumlah minimum bulanan sebelum tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan. Kalau kita membayar selepas tarikh ini, kita akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan juga caj bayaran lewat.

• Cukai perkhidmatan
Ingat! Bermula tahun 2010, setiap kad kredit akan dikenakan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 ke atas pemegang kad utama dan RM25 ke atas pemegang kad sampingan (supplement). Bayaran ini akan dimasukkan dalam penyata kad kredit kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan