Cari Blog Ini

Jumaat, 31 Julai 2015

Contoh Soalan Undang-Undang Umum

UNDANG-UNDANG UMUM PEPERIKSAAN KPSL
PENOLONG PEGAWAI TADBIR TAHUN 2010


SOALAN 1.
a) Rossa Lasso berasal dari Indonesia mula tinggal di Kuala Lumpur pada tahun 1990 dan kini merupakan pemastautin tetap di Malaysia. Pada Januari 2008, beliau telah bernikah dengan Rukh Shah Khan seorang buruh ladang di Rawang yang merupakan seorang Pendatang Asing Tanpa Izin dari Bangladesh. Rossa Lasso dan Rukh Shah Khan kemudiannya telah dikurniakan seorang bayi perempuan yang dilahirkan di Serendah, Selangor pada 4 Mei 2009. Mereka keliru sama ada kelahiran bayi itu perlu didaftarkan di Kedutaan Indonesia atau di Kedutaan Bangladesh. Walau bagaimanapun, pasangan ini amat berharap untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka di Pejabat Pendaftaran Malaysia tetapi mereka kurang jelas sama ada bayi itu layak atau tidak mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sila nasihatkan pasangan ini sama ada bayi mereka layak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia atau sebaliknya. JAWAPAN : Pasangan bayi ini layak untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia melalui Peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuatkuasa undang-undang; iaitu (a) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibubapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan (Ruj: Undang-Undang Umum Jilid Dua /Perlembagaan Persekutuan/ Jadual Kedua/Bhg. II(Perkara 14(1)(b)]/ Perenggan (a),Sek.1)

 b) Perkara 38 (1), Jadual Kelima, Seksyen (1), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan bahawa “Majlis-Majlis Raja-Raja hendaklah mengandungi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang Di Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja”. Walau bagaimanapun, dalam satu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan untuk membincangkan perkara berhubung pemilihan Timbalan Yang Di Pertuan Agong, Yang Di Pertua Negeri bagi negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak telah tidak menghadirinya. Jelaskan sama ada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan itu sah atau tidak sebaliknya tanpa kehadiran Yang Di Pertua Negeri bagi negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dan berikan justifikasinya.
JAWAPAN : Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan itu sah, Perkara 38(1), Jadual Kelima, Seksyen (7), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan bahawa ‘Yang Di Pertua-Yang Di Pertua Negeri Negeri Negeri yang tidak mempunyai Raja tidaklah boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja bagi maksud apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang Di Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang Di Pertuan Agong atau yang berhubungan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebebasan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama (Ruj: Undang-Undang Umum Jilid Dua /Perlembagaan Persekutuan/Perkara 38 (1)/ Jadual Kelima/ Seksyen (1))

 c) Seluruh dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak H1N1 terutama di Amerika Syarikat dan Mexico. Sehubungan itu, ekoran daripada arahan Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil tindakan berwaspada dengan mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor menjalankan saringan bagi memeriksa pembawa virus Influenza A di setiap pintu masuk ke Malaysia di selatan tanah air iaitu di Pusat Pemeriksaan Tambak Johor, di Lampangan Terbang Sultan Ismail, Senai, di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan di Jeti Tanjung Piai, Pontian. Tindakan ini menelan perbelanjaan besar adalah bertujuan untuk menjaga kesihatan awam dan terkandung dalam Senarai Bersama. Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan Kerajaan Negeri Johor supaya membiayai perbelanjaan tersebut. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, nasihatkan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Johor yang perlu menanggung perbelanjaan bagi memeriksa pembawa virus Influenza A di setiap pintu masuk ke Malaysia di selatan tanah air itu. Berikan justifikasi kepada nasihat tersebut.
JAWAPAN : Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 82 “Jika mana-mana undang-undang atau tindakan eksekutif yang berhubungan dengan apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama melibatkan perbelanjaan, maka hendaklah diambil tindakan di bawah Perlembagaan ini yang akan memastikan bahawa, melainkan jika dipersetujui selainnya, beban perbelanjaan itu ditanggung”:- a) Oleh Persekutuan, jika perbelanjaan itu berbangkit sama ada daripada komitmen Persekutuan atau daripada komitmen Negeri, yang diakujanjikan mengikut dasar Persekutuan dan dengan kelulusan khusus Kerajaan Persekutuan (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Bhg. VI/ Perkara 82(a)/ Jadual Kesembilan/Seksyen 7)

 d) Puan Maria yang mengikuti suaminya bertugas di Brussels, Belgium telah pulang ke Malaysia untuk melahirkan anak sulung mereka dengan menaiki pesawat Lufthansa, sebuah syarikat penerbangan Jerman. Tanpa diduga, tiba-tiba Puan Maria mengalami sakit perut dan telah melahirkan seorang bayi lelaki dalam pesawat berkenaan ketika berada di ruang udara Thailand. Sila jelaskan nama Negara yang akan didaftarkan sebagai tempat kelahiran bayi lelaki Puan Maria dan berikan justifikasinya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan berhubung penetapan Negara tersebut. JAWAPAN : Kelahiran bayi lelaki Puan Maria itu didaftarkan atas nama Negara Jerman. Dalam Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa di dalam Jadual Kedua “Bagi maksud Bhg. I atau Bhg. II Jadual ini, seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau pesawat udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara didaftarkan, dan seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau pesawat udara tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana Negara hendaklah disifatkan telah lahir di dalam Negara itu” (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Jadual Kedua/ Bhg. III/ Perkara 31/Sek.19A)



 SOALAN 2.
a) Haris, seorang warganegara Malaysia telah berkahwin dengan Katie, seorang warganegara British di United Kingdom pada tahun 1990. Keluarga ini kemudiannya telah berpindah ke Malaysia pada tahun 2000. Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, bolehkah isteri Haris memohon untuk menjadi warganegara Malaysia dan apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh isterinya? JAWAPAN : Isteri Haris boleh memohon menjadi warganegara Malaysia, tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Okt. 1962, atau jika dia memuskan hati Kerajaan Persekutuan a) Bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan b) Bahawa dia berkelakuan baik (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Bhg. III/ Perkara 15(a)(b))

 b) Sekiranya permohonan Katie untuk menjadi warganegara Malaysia diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, bilakah Katie boleh didaftarkan menjadi warganegara Malaysia? JAWAPAN : Katie boleh didaftarkan menjadi warganegara Malaysia sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Perkara 18(1))

 c) Bilakah secara rasminya Katie boleh mejadi warganegara dengan cara pendaftaran?
 JAWAPAN : Secara rasminya Katie boleh menjadi warganegara dengan cara pendaftaran mulai dari dia didaftarkan sedemikian. (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Perkara 18(3))

d) Encik Wagiman yang berasal dari Indonesia telah memperolehi kewarganegaraan Malaysia secara perakuan masukan pada tahun 2001. Selepas memperolehi kewarganegaraan, beliau telah kembali ke Negara asalnya dan tidak kembali ke Malaysia sehingga sekarang. Sepanjang ketiadaannya, tiada sebarang berita diperolehi daripada beliau. Adakah Kerajaan Persekutuan boleh dan mempunyai sebarang peruntukan untuk melucutkan kewarganegaraan beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan?
JAWAPAN : Kerajaan Persekutuan boleh dengan perintah melucutkan kewarganegaraan seseorang yang menjadi warganegara dengan cara pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara dengan cara masukan jika berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di negeri-negeri luar Persekutuan selama tempoh lima tahun terus menerus dan dalam tempoh itu orang itu tidak mendaftarkan tiap-tiap tahun di pejabat konsul Persekutuan niatnya hendak mengekalkan kewarganegaraannya (Ruj: Perlembagaan Persekutuan, Perkara 25(2)(b))

 e) Atas permintaan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk memberikan buat selama-lamanya sebidang tanah Kerajaan Negeri yang telah dirizabkan sebelum itu bagi maksud kegunaan Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan telah diminta oleh Kerajaan Negeri Selangor supaya membayar premium tanah tersebut terlebih dahulu. Jelaskan bagaimana kaedah penentuan bayaran premium tanah yang perlu dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Selangor.
 JAWAPAN : Bayaran premium tanah itu hendaklah sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu ditolak (a) Nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan negeri) semasa tanah itu digunakan bagi maksud Persekutuan; dan (b) Amaun, jika ada yang telah dibayar oleh Persekutuan, atau yang telah dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri (Ruj: Perlembagaan Persekutuan/ Perkara 85(a)(b))


SOALAN 3.(BERDASARKAN PETIKAN DI BAWAH)
Encik Kamal dan Encik Vadipillai merupakan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 di Jabatan X. Puan Wong Mea Ping pula merupakan seorang Ketua Pembantu Tadbir Gred N22 di Jabatan yang sama. Ketiga-tiga mereka telah menemui anda untuk merujuk mengenai prosedur bersara secara pilihan dan mereka berhasrat untuk bersara awal pada Mei 2010. Berikut adalah ringkasan latar belakang peribadi dan maklumat perkhidmatan mereka : Nama, Tarikh Lantik, Umur pada masa perjumpaan, Telah disahkan dlm jawatan
1. Kamal 1 Mac 1989 49 tahun Ya
2. Vadipilai 1 April 1992 43 tahun Ya
3. Wong 1 Januari 1990 44 tahun Ya

a) Nyatakan syarat-syarat yang membolehkan seseorang penjawat awam memohon untuk bersara secara pilihan mengikut Akta Pencen 1980.
 JAWAPAN : Syarat-syarat yang membolehkan seseorang penjawat awam memohon untuk bersara secara pilihan mengikut Akta Pencen 1980 adalah:
(i) Seseorang pegawai apabila atau selepas mencapai umur empat puluh tahun
(ii) Jika seseorang pegawai yang dilantik sebelum mula berkuatkuasanya seksyen ini bersara di bawah subseksyen(i), pegawai sedemikian bolehlah diberi pencen hanya apabila mencapai umur (a) empat puluh lima tahun bagi seorang pegawai perempuan (b) lima puluh tahun bagi seseorang pegawai lelaki (iii) Jika seseorang pegawai yang dilantik selepas mula berkuatkuasanya seksyen ini bersara dibawah subseksyen (i), pegawai sedemikian bolehlah diberi pencen hanya apabila mencapai umur lima puluh lapan tahun (Ruj: Akta Pencen 1980/ Seksyen 12/subseksyen(1)(2)(a)(i)(b)(3)]

b) Huraikan jenis faedah persaraan yang akan diperoleh oleh setiap seorang dari mereka pada hari persaraan mereka jika permohonan mereka diluluskan.
JAWAPAN : Faedah persaraan yang akan diperolehi oleh :
1) Kamal layak mendapat a) Ganjaran perkhidmatan (GCR) selama tempoh perkhidmatannya b) Pencen bulanan akan dibayar pada umur 50 tahun (lelaki)
2) Vadipillai layak mendapat a) Ganjaran perkhidmatan (GCR) selama tempoh perkhidmatannya b) Pencen bulanan akan dibayar pada umur 50 tahun (lelaki)
3) Wong a) Ganjaran perkhidmatan (GCR) selama tempoh perkhidmatannya b) Pencen bulanan akan dibayar pada umur 45 tahun (perempuan)



 SOALAN 4.
a) Encik X seorang pesara kerajaan telah didapati bersalah kerana disabitkan dengan jenayah seksual oleh Mahkamah Seksyen Petaling Jaya lalu dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun. Berhubung dengan perkara ini, pencen yang dibayar kepada beliau dihentikan buat selama-lamanya. Sejauh manakah kebenaran kenyataan di atas? Jelaskan.
 JAWAPAN : Jika mana-mana orang yang telah diberi pencen atau lain-lain faedah di bawah Akta ini dikenakan hukuman mati atau penjara selama sesuatu tempoh oleh suatu mahkamah, maka pencen atau lain-lain faedah itu hendaklah terhenti dengan serta merta Pencen atau lain-lain faedah di bawah seksyen kecil (1) itu hendaklah diberi semula dengan kuatkuasa kebelakangan bagi seseorang yang selepas disabitkan mendapat pengampunan. Jika sesuatu pencen atau lain-lain faedah terhenti di bawah seksyen-kecil (1), Yang di-Pertuan Agong boleh member elaun tanggungan yang banyaknya sama dengan semua atau mana-mana bahagian daripada wang yang pesara itu sepatutnya berhak mendapat sebagai pencen atau lain-lain faedah yang difikirkannya patut kepada isteri atau anak-anak pesara untuk nafkah dan faedah mereka dan, selepas tamat tempoh hukumannya, juga bagi faedah pesara itu sendiri. ( Ruj: Akta Pencen 1980/Akta 239/Seksyen 23(a) (2) (3)

b) Elaun tanggungan merupakan salah satu daripada faedah persaraan mengikut Akta Pencen 1980. Jelaskan kepada siapakah dan dalam keadaan yang bagaimana elaun ini akan diberi?
JAWAPAN : Elaun tanggungan diberi kepada : i) Balu atau duda ii) Anak bawah 21 tahun dan belum berkahwin iii) Ibu Elaun tanggungan diberi sebagai menggantikan pencen yang dihentikan dalam keadaan pesara atau penerima pencen dipenjarakan atau diisytiharkan bangkrap ( Ruj: Akta Pencen 1980/Peraturan-Peraturan Pencen 1980/Bhg. V/Peraturan 19(1)

 c) Berikut adalah fakta ringkas mengenai Encik Yusrani Gaji Akhir : RM1988.00 Bulan Perkhidmatan yang boleh dimasukkira : 400 bulan “Berdasarkan kepada fakta di atas, Encik Yusrani akan menerima pencen perkhidmatan sebanyak RM1325.33 sebulan”. Benarkah kenyataan di atas? Huraikan.
JAWAPAN : Kenyataan diatas adalah benar, merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pencen 1980, seseorang pegawai berpencen apabila bersara diberi pencen bulanan berdasarkan 1/600 x jumlah genapnya bulan perkhidmatan x gaji yang akhir diterima Tertakluk kepada peraturan-peraturan ini, tempoh-tempoh perkhidmatan sama ada sementara atau tetap, boleh dimasukkan bagi maksud pencen, ganjaran atau lain-lain faedah a) Apa-apa tempoh sepanjang masa seseorang pegawai telah bertugas b) Apa-apa tempoh sepanjang masa seseorang pegawai telah bercuti dengan bergaji sebagaimana yang diperuntukan dalam skim baru c) Apa-apa tempoh perkhidmatan sepanjang mana seseorang pegawai telah bercuti tanpa gaji yang diberi atas sebab dasar-dasar awam sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah; atau d) Apa-apa tempoh semasa dalam pinjaman atau pertukaran sementara ke mana-mana organisasi yang diluluskan oleh Kerajaan ( Ruj: Akta Pencen 1980/ Peraturan-Peraturan Pencen 1980/Bhg.II/Peraturan 4(1)(a) dan 5(a) (b)(c)(d)



 SOALAN 5.
a) Encik Hassan telah diperintahkan oleh Mahkamah supaya membayar caruman wang pekerja-pekerjanya sebanyak RM45,000.00 kepada KWSP. Beliau enggan untuk menjelaskan caruman tersebut dan bercadang untuk berhijrah ke Indonesia. Bolehkah Pengurus Besar KWSP menghalang pemergian beliau ke Indonesia? Berikan alasan anda.
JAWAPAN : Boleh. Ketua Pegawai Eksekutif boleh membuat suatu permintaan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen supaya mana-mana orang dilrang daripada meninggalkan Malaysia tanpa membayar apa-apa wang yang kena dibayar kepada Kumpulan Wang yang berkenaan dengannya suatu perintah Mahkamah telah diperoleh, melainkan dan sehingga dia membayar semua amaun yang kena dibayar kepada Kumpulan Wang atau memberikan jaminan yang memuaskan hati Ketua Pegawai Eksekutif bagi pembayarannya. Tertakluk kepada apa-apa perintah yang dikeluarkan atau dibuat di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pembuangan negeri atau imigresen, Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen apabila menerima sesuatu permintaan di bawah perenggan (a) berkenaan dengan mana-mana orang hendaklah mengambil atau menyebabkan diambil segala langkah (termasuklah menggunakan kekerasan yang munasabah dan penyitaan, pembatalan atau penahanan mana-mana surat pengenalan dan mana-mana passport, permit keluar atau dokumen perjalanan lain yang berhubungan dengan orang tersebut) sebagaimana yang perlu untuk melaksanakannya. ( Ruj: Akta Pencen 1980/Akta 452/Bhg. IV/Seksyen 39(1)(a)(b)

 b) Encik Samy Kutty, seorang Pengarah Urusan Syarikat Bina Ceria mendapati bahawa kerani akaunnya telah membuat kesilapan dalam membuat caruman pekerja-pekerja Syarikat Bina Ceria. Kesilapan itu telah dilakukan bagi caruman dalam tahun 2007. Beliau tidak pasti sama ada lebihan bayaran yang telah tersilap dibayar itu boleh didapatkan kembali daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Nasihatkan Encik Samy Kutty sama ada caruman tersebut boleh didapatkan kembali daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
JAWAPAN : Jika mana-mana caruman kepada Kumpulan Wang adalah dibayar secara silap oleh atau yang berkenaan dengan seseorang yang tidak bertanggungan untuk mencarum daripadanya atau jika apa-apa caruman yang dibayar kepada Kumpulan Wang adalah disebabkan kesilapan ke atas amaun yang kena dibayar daripada orang itu oleh atau yang berkenaan dengan siapa ianya adalah dibuat, Lembaga hendaklah, jika berpuas hati bahawa caruman itu atau lebihan adalah dibayar secara silap dan jika amaun itu telah ada dalam Kumpulan Wang, memulangkan perkara yang sama bersama-sama dengan apa-apa dividen yang mana telah dikreditkan berkenaan dengan caruman itu kepada akaun orang yang diambil bekerja mengikut peruntukan-peruntukan Akta itu, kepada majikan dan kepada orang yang diambil bekerja mengikut syer-syer yang berkenaan dengan mereka; dengan syarat bahawa, melainkan Lembaga menurut budibicaranya, mengarahkan selainnya, tidak ada permohonan bagi pengembalian yang dibuat lebih dari dua tahun selepas tarikh daripada mana caruman atau lebih adalah dibayar hendaklah dipertimbangkan dan perkara yang sama hendaklah dikendalikan seolah-olah ianya tidak dibayar secara silap. (Ruj: Akta KWSP 1991/Bahagian VII/Kaedah 33(1)



 SOALAN 6.
a) Setelah bekerja di Malaysia dan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama 20 tahun, Encik Robert Chong, seorang warganegara Malaysia telah berhenti kerja untuk bekerja di Australia. Semasa tinggal dan bekerja di Australia, Encik Robert Chong telah sesat di hutan dan tidak dapat dijumpai. Setelah 8 tahun berlalu, isteri Encik Robert Chong telah mendapatkan Perintah Anggapan Kematian daripada mahkamah di Australia bagi maksud mengeluarkan caruman Encik Robert Chong dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja semasa bekerja di Malaysia. Jelaskan sama ada Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah di Australia boleh diterima sebagai bukti kematian untk mengeluarkan caruman Encik Robert Chong dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
JAWAPAN : Lembaga hendaklah menerima sebagai bukti yang muktamad kematian ahli Kumpulan Wang, suatu Perintah Anggapan Kematian daripada Mahkamah di Malaysia menurut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 atau daripada suatu Mahkamah di Republic SIngapura, dan boleh menerima apa-apa Perintah dari Mahkamah Undang-Undang di mana-mana Negara lain bahawa ahli itu tiada apa-apa perkhabaran yang di dengar mengenai ahli itu selama tujuh tahun atau lebih oleh orang-orang yang sepatutnya, jika ahli itu masih hidup, telah mungkin mendengar perkhabaran darinya. Ahli Kumpulan Wang yang ingin mengeluarkan apa-apa amaun yang ada dalam kreditnya di Kumpulan Wang, atau jika ahli Kumpulan Wang telah mati orang yang berhak kepada amaun yang ada dalam kredit ahli itu, hendaklah memberi notis kepada Lembaga dalam Borang KWSP 9 yang relevan sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga. Borang bagi pemberitahuan pengeluaran, setelah dilengkapkan, bersama-sama dengan Sijil keahlian ahli itu dan juga apa-apa dokumen lain sebagaimana yang Lembaga boleh mengarahkan hendaklah dikemukakan terus kepada Lembaga. (Ruj: Akta KWSP 1991/Kaedah-Kaedah KWSP 1991/Bhg. IX/Kaedah 38(1)/Bhg.XI/Kaedah 40(1)(4)

 b) Puan Aminah telah mengalami kecederaan parah dalam suatu kemalangan jalan raya dan tidak lagi berupaya dari segi fizikal atau mental untuk bekerja dan tidak boleh lagi diambil bekerja Bagi maksud mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, beliau telah mengemukakan satu notis untuk mengeluarkan caruman beliau kepada Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Jelaskan sama ada notis tersebut sudah mencukupi untuk membolehkan Puan Aminah mengeluarkan wang caruman beliau.
JAWAPAN : Jika notis pengeluaran adalah dibuat atas alasan bahawa ahli tidak lagi berupaya dari segi fizikal atau mental untuk, dan adalah tidak boleh lagi diambil kerja;ahli itu atau pemohon itu hendaklah mengemukakan Borang KWSP 9 (HK) atau KWSP (HL) mengikut mana yang berkenaan dengan Lembaga bersama-sama dengan pengesahan perubatan daripada mana-mana pengamal perubtan mengesahkan bahawa ahli sama ada tak upaya dari segi fizikal atau mental untuk diambil kerja lagi. (Ruj: Akta KWSP 1991/Kaedah-kaedah KWSP 1991/ Bhg.XI/Kaedah 41(2)


 c) Sebagai seorang majikan, Encik Azlan telah gagal mengemukakan penyata majikan sepertimana dikehendaki oleh kaedah 9(2) dan juga penyata-penyata lain sebagaimana dikehendaki oleh kaedah 11 Kaedah-Kaedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991. Jelaskan sama ada Encik Azlan telah melakukan satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dan sekiranya beliau telah melakukan satu kesalahan apakah hukuman yang boleh dikenakan ke atas beliau sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut.
JAWAPAN : Mana-mana majikan yang gagal untuk melengkapkan atau mengemukakan penyata majikan sebagaimana yang dikehendaki oleh kaedah 9(2) atau mana-mana penyata sebagaimana yang dikehendaki oleh kaedah 11 Kaedah-Kaedah ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga bulan atau didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya (Ruj: Akta KWSP 1991/Kaedah-kaedah KWSP 1991/ Bhg.XIII/Kaedah 59(1)(a)